Wednesday, June 15, 2005

Saladin or Salahuddin Al Ayyubi

Saladin atau lebih dikenali sebagai Salahuddin Al-Ayyubi adalah nama yang terkenal buat masa ini terutama selepas penayangan filem Kingdom Of Heaven. Terdapat ulasan yang menarik mengenai filem tersebut boleh didapati di portal ini. Di sini dicoretkan sedikit sebanyak ketokohan Saladin sebagai panglima perang terhadap musuhnya, King Richard I (Richard The Lionheart) yang tak mungkin dapat dicontohi oleh orang lain...

Saladin dan Richard adalah dua nama yang amat sinonim. Kedua-duanya adalah panglima perang dalam Perang Salib. Kedua-duanya juga dikenali dalam sejarah sebagai ketua tentera yang dihormati oleh kedua-dua pihak yang bertelagah walaupun mereka hanya bertempur dalam Perang Salib yang ketiga.Saladin adalah tokoh Islam yang hebat.

Nama betulnya ialah Salahuddin Yusuf Ibnu Ayyub. Beliau telah menyatukan dan mengetuai dunia Islam dan dalam tahun 1187 Masihi beliau telah menakluki semula Jerusalem (Baitulmuqqaddis) setelah mengalahkan Raja Jerusalem dalam Peperangan Hattin berdekatan Tasik Galilee. Apabila tenteranya memasuki kota Jerusalem, mereka tidak dibenarkan membunuh orang ramai, merompak atau merosakkan kota tersebut.

Penganut Kristian Eropah Barat amat terkejut dengan kejayaan Saladin. Pope ketika itu, Gregory VIII, mengarahkan supaya suatu lagi Perang Salib (Crusade) dijalankan secepat mungkin untuk menawan semula Kota Suci Jerusalem. Perang Salib ketiga ini diketuai oleh Richard I (Richard The Lionheart) dari England, Maharaja Frederick dari Jerman dan Raja Philip II dari Perancis. Mereka merupakan orang paling berpengaruh di Eropah Barat menunjukkan betapa pentingnya Perang Salib Ketiga ini.

Ianya berlarutan dari tahun 1189 hingga tahun 1192. Maharaja Frederick telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan meninggalkan Eropah.Pihak Kristian telah berjaya menawan Cyprus dan seterusnya Acre, sebuah kota pelabuhan yang amat penting untuk mereka melabuhkan kapal dan merupakan pelabuhan terdekat dengan Kota Jerusalem. Philip berasa penat lalu meninggalkan medan perang unutk pulang ke Perancis.

Sewaktu menawan Acre, tentera Kristian telah membunuh 2000 tentera Islam yang mereka tangkap. Saladin telah menawarkan wang tebusan pada mulanya namun disebabkan masalah dalam proses pembayaran, King Richard mengarahkan pembunuhan tersebut.King Richard dan bala tenteranya memutuskan untuk menawan Kota Jerusalem dari Saladin, namun perjalanannya amat memeritkan. Mereka menyusuri pantai agar kapal-kapal dapat memberikan bekalan kepada mereka. Cuaca juga agak sejuk dengan bayu pantai.

Walaubagaimanapun, mereka tetap mengalami penderitaan dari panas teruk dan kekurangan bekalan air bersih. Apabila malam menjelma, untuk berehat, mereka terpaksa menghadapi masalah labah-labah tarantula yang mempunyai gigitan yang beracun dan menyakitkan.Kedua-dua pihak Kristian dan Islam telah bertempur dalam Peperangan Arsuf dalam bulan September 1191 dimana ianya berpihak kepada Richard. Didalam peperangan ini, Richard telah kehilangan kuda perangnya. Saladin telah menawarkan dua ekor kuda sebagai pengganti.Richard melewatkan serangan ke atas Jerusalem untuk membiarkan tenteranya berehat.

Mereka menghabiskan musim sejuk tahun 1191 di Jaffa. Mereka memulakan perjalanan ke Jerusalem pada Jun 1192.Bagaimanapun, Richard menderita kerana demam. Beliau terpaksa berharap kepada musuhnya Saladin untuk menghantar kepadanya bekalan air bersih dan buah-buahan segar. Saladin telah menghantar buah-buahan segar dan salji beku untuk dijadikan air kepada pihak Kristian.Ada dua faktor utama yang menyebabkan Saladin berbuat begini. Pertama, beliau adalah pemimpin Islam yang tegas.

Salah satu perkara yang ditekankan dalam ajaran Islam ialah pengikutnya perlu menolong orang lain yang dalam kesusahan. Keduanya, Saladin boleh menghantar wakilnya dengan bekalan tersebut dan disamping itu, menjadi penyiasat (spy) untuk mengetahui kekuatan bala tentera Richard, peralatan dan lain-lain lagi.Apa yang mereka temui, Richard hanya mempunyai 2000 anggota tentera dan 50 kesatria yang benar-benar sihat. Dengan tentera yang sebegini kerdil, Richard tidak mampu untuk menawan Jerusalem.

Walaubagaimanapun, Richard mampu mendekati kota suci tersebut dan mengadakan perjanjian Ramla untuk membenarkan penganut Kristian melawati kotasuci tersebut tanpa sebarang masalah dari pihak Islam dan membiarkan kota tersebut dalam pemerintahan Islam.. Richard dan Saladin kedua-duanya sebenarnya tidak suka dengan perjanjian tersebut namun kedua-dua pihak keletihan dari peperangan tersebut. Dalam bulan Oktober 1192, Richard belayar menuju Eropah Barat dan tidak kembali semula ke Jerusalem selepas itu.

Walaupun tentangan diberikan Saladin kepada pihak Kristian amat kuat, keperwiraan beliau amat dikagumi oleh pihak barat. Walaupun tentera Salib pernah membunuh orang-orang Islam pelbagai peringkat umur semasa mereka menakluki Jerusalem, Saladin memberikan kebebasan kepada semua penganut Kristian Roman Katolik untuk melawati Kota Suci tersebut (Penganut Kristian Ortodoks Greek dilayan lebih baik kerana membantah Perang Salib).Walaupun berlainan fahaman dan agama, Saladin dihormati oleh King Richard.

Mereka hampir menjadi rakan dalan suasana yang agak pelik. Richard pernah memuji Saladin sebagai putera yang hebat dan Saladin pernah berkata yang dia sanggup tewas dan menyerahkan Jerusalem kepada Richard daripada orang lain. Selepas perjanjian yang disebut di atas, mereka saling menghantar hadiah sebagai tanda hormat masing-masing. Kedua-dua pemimpin ini tidak pernah bertemu muka.Saladin juga pernah menawarkan perkhidmatan doktor peribadinya kepada Richard sewaktu Richard cedera, sebagai tanda menunjukkan bidang perubatan Islam merupakan yang terbaik diwaktu itu.

Richard dan Saladin pernah bersetuju untuk mengahwinkan adik perempuan Richard dengan adik lelaki Saladin sebagai suatu simbol keamanan dengan Jerusalem sebagai mas kahwin. Namun semua ini gagal kerana sebab-sebab keagamaan kedua-dua pihak (berlaku sebelum Perjanjian Ramla).Tidak lama selepas Richard meninggalkan Jerusalem, pada 4 Mac 1193, Saladin meninggal dunia kerana sakit. Bendahari Saladin dibuka untuk membiayai kos pengebumian beliau. Apa yang mereka temui tidak mencukupi untuk menampung kos tersebut kerana wang dan harta Saladin, beliau telah menggunakannya untuk kebajikan dan membantu orang yang susah.

Saladin merupakan seorang panglima perang yang boleh dikatakan 'ideal' kerana kejayaan beliau dan kepatuhan beliau sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ajaran-ajaran yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W.."Saladin tidak pernah membelanjakan wangnya kecuali ke arah jihad. Beliau meninggalkan keluarganya, anaknya, negaranya, rumahnya, dan semua bandar jajahannya untuk berjuang untuk Tuhan. Saladin seorang berakhlak mulia dan menghiburkan. Jika seseorang sakit, dia akan menanyakan tentang penyakitnya itu, perubatannya, makan dan minum serta sebarang perubahan dalam keadaannya.

Saya tak pernah melihat beliau menghina seseorang. Dia sentiasa menunaikan janjinya dan seorang yang taat. Tiada seorang yatim yang datang kepadanya tanpa beliau menawarkan penjagaan yang sebaik seorang bapa berikan. Beliau melayan orang tua dengan baik dan ikhlas."

- Baha'ad-Din ibn Shaddad, penulis Islam yang tinggal di istana Saladin

Rujukan:http://www.wikipedia.orghttp://www.historylearningsite.co.uk

Just a little bit info for you all... but please do not VOMIT here....

No comments: